KUALA LUMPUR: Satu sindiket curi kenderaan dikenali ‘Geng Ah Hong’ yang aktif mencuri pelbagai kenderaan membabitkan nilai lebih RM1 juta tumpas selepas diberkas polis.
Difahamkan, hasil penahanan kumpulan dianggotai tiga lelaki itu, polis turut berjaya merampas 17 kereta pelbagai jenis.
Geng Ah Hong itu diberkas polis pada 27 Julai lalu secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur selepas polis menerima maklumat berhubung kegiatan mereka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan Disember 2010.
“Kumpulan berkenaan diketuai lelaki dikenali sebagai Ah Hong berusia 35 tahun dikesan akan mencuri sesebuah kereta yang disasarkan sebelum komponennya dileraikan untuk dijual di pasaran gelap.
”Bertindak atas laporan polis yang dibuat mangsa, polis menjalankan siasatan lanjut sebelum berjaya mengesan sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Othman berkata, hasil siasatan sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, ketiga-tiga suspek berusia antara 36 hingga 41 tahun ditahan di beberapa kawasan berasingan.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah membuat kunci pendua berdasarkan tempat kunci pada but kereta.
Menurutnya, pihaknya berjaya menemui semula 17 kereta pelbagai jenis antaranya Proton Waja, Wira, Kia Citra, Kia Spectra dan Nissan Vanette.
“Kami percaya sindiket berkenaan sudah mencuri lebih 30 kereta di Lembah Klang sebelum meleraikan komponen dan dijual di kedai alat ganti kereta dan aksesori.
“Berikutan peningkatan kes curi kenderaan di daerah Sentul, polis kini sedang berusaha mengesan kegiatan sindiket lain yang mungkin terbabit dalam kes kecurian kenderaan,” katanya.
Othman berkata, dua daripada tiga suspek itu didapati memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka ditahan reman hingga Sabtu ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.